Monday, June 28, 2010

NILAI TUDUNG WANITA...




(Sumber: Majalah Al-Muslimah, Ogos 2009)


Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik perhatian serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita , sebab wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan dikhalayak umum. Mereka masih boleh tampil dihadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan disana-sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung menutup aurat seolah-olah telah melanda dari peringkat bawahan hingga keperingkat atasan. Samada dari golongan pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja pejabat.

Walaupun pelbagai tudung digaya dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok didalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci warna-warni yang dijahit pula diatasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadi daya tarikan lelaki yang bukan mahramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita daripada menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung tetapi semakin membesar riak dan bangga dalam diri. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya.

Kesimpulannya tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa denga Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak sembahyang. Ada orang yang bertudung tetapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki. Ada orang bertudung yang terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan lelaki yang bukan mahramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang yang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka merasakan bertudung dan menutup aurat sama sahaja dengan dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam melihat sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tetapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak kita belum boleh jadi baik, tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung diluar, tudung didalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak, dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Sama ada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polan itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklari dari suka bertengkar. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada’ dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan dan suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. Jaga tertib sebagai seorang wanita.

Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, Orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui “ Islam is really beautiful”. Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

-tajdidniatselalu-

Sunday, June 27, 2010

TIDAK SEMUDAH ABC & 123



sesungguhnya,
membentuk diri mengikut acuan yang dikehendaki Ilahi
tidak semudah menyebut ABC
juga tidah semudah membilang 123

ianya memerlukan keazaman dan mujahadah yang tinggi
kesungguhan untuk mengubah diri
agar hari2 mendatang yang bakal dilalui
akan lebih baik daripada hari semalam yang telah ditinggalkan

mintalah pada-Nya selalu
agar diri ini dipandu
diberi kekuatan dan ketabahan
menghadapi pelbagai mehnah dunia
supaya tidak tersasar
dari landasan sebenar
menjadi mu'min yang diredhai

moga matlamat untuk memperoleh cinta dan redha-Nya
menjadi milik kita bersama
di akhirat sana
amin...

-tajdidniatselalu-