Senaman Untuk Tulang

Tuesday, November 24, 2009

JANGANLAH malas, bangun dan bersenam! Perkara pertama yang terlintas di fikiran anda bila menyentuh tentang tulang pastinya kalsium. Tetapi untuk mencapai tulang yang sihat anda tidak boleh sekadar mengambil nutrien yang cukup. Melakukan senaman yang betul juga penting untuk menguatkan tulang!

Sebenarnya, selain kuat, tulang juga fleksibel. Inilah sebabnya ahli gimnastik boleh melentur badan hingga ke bentuk yang tampak mustahil tanpa mematahkan tulang mereka! Tulang adalah tisu hidup, jadi ia terus bertindak kepada tekanan dari aktiviti yang dikenakan ke atasnya.

Tulang kita terdiri daripada kombinasi kolagen dan kristal mineral yang terbina daripada kalsium dan fosfat. Matriks kolagen inilah yang membenarkan tulang berkembang dan mengecut tanpa patah. Dalam kata lain, tulang anda akan bertindak balas dan menjadi lebih kuat untuk menahan tekanan yang dikenakan ke atasnya. Jika anda tidak aktif secara fizikal, tulang anda menjadi lebih lemah dan rapuh, mendedahkannya kepada risiko patah.

Impak tinggi


Apa juga senaman yang memerlukan anda mengangkat berat dan melawan graviti dapat membantu mempertingkat dan mengekalkan jisim tulang. Tekanan dari mengangkat berat serta aktiviti tolak-tarik otot akan menggalakkan pembentukan tulang, menjadikannya lebih kuat.


Senaman berimpak tinggi dan menahan berat adalah paling efektif dalam membina tulang yang kuat. Senaman bertujuan membina tulang anda, bukan mematahkannya. Aktiviti seperti berlari, melompat, mendaki, menari dan bermain permainan seperti tenis dan badminton menghasilkan impak yang sama seperti senaman menahan berat.


Senaman menahan berat impak rendah seperti berjalan dan aerobik impak rendah pula lebih sesuai bagi yang mereka yang mahu membina tulang kuat tetapi tidak boleh melakukan senaman impak tinggi. Anda juga boleh melakukan latihan ketahanan dan senaman yang menguatkan seperti angkat berat atau tekan tubi. Namun, anda perlu berjaga-jaga dan dapatkan nasihat doktor atau jurulatih peribadi terlebih dahulu untuk mengelakkan kecederaan.


Bagi yang berusia, penderitaan dari keretakan tulang akibat terjatuh boleh menjejaskan keupayaan anda untuk menjalani hidup normal. Sehingga 20 peratus mangsa yang mengalami keretakan pinggul meninggal dunia selepas satu tahun manakala dua pertiga yang terselamat pula menjadi individu kurang upaya. Di samping memastikan rumah dan persekitaran anda selamat dari risiko terjatuh, anda juga perlu mengambil inisiatif untuk memperbaiki keseimbangan dan postur badan melalui senaman. Melakukan tai chi memberikan anda lebih keseimbangan, postur dan koordinasi yang dapat membantu anda mengelak daripada terjatuh.


Senaman untuk tulang sihat boleh disesuaikan mengikut peringkat umur dan keperluan. Senaman boleh membantu membina tulang sihat ketika zaman kanak-kanak dan mengekalkannya ketika dewasa. Orang yang berumur dan kerap bersenam juga boleh menguatkan tulang dan mengurangkan risiko patah. Jadi, tidak kira berapa umur anda, atau apa juga keadaan fizikal anda, anda boleh mencari jenis senaman yang sesuai untuk diri sendiri.


Walaubagaimanapun, adalah berbahaya untuk melakukan senaman tanpa mengetahui had anda. Senaman yang berlebihan boleh menyebabkan keretakan akibat stres dan kerosakan sendi. Ada juga senaman yang boleh menyebabkan jatuh dan meningkatkan risiko keretakan tulang. Penghidap osteoporosis dan warga emas boleh meningkatkan risiko kepatahan tulang jika memulakan senaman berat tanpa mendapatkan nasihat doktor atau pakar perubatan.

Penyesuaian


Setiap senaman perlu disesuaikan mengikut keperluan dan keupayaan. Senaman selama 30 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu adalah digalakkan jika anda mempunyai jisim tulang rendah, menghidap osteoporosis atau berusia lebih 50 tahun.


Berhati-hatilah dengan halangan lazim untuk bersenam seperti malas atau kesuntukan masa. Senaman boleh diterapkan dalam kehidupan untuk menepati keperluan dan gaya hidup anda supaya ia tidak menjadi sesuatu yang membosankan. Jadilah kreatif dan pastikan anda gembira melakukannya. Dengan ini, anda akan dapat meneruskan senaman dengan rela dan bukan separuh hati.

Membina tulang sihat adalah komitmen sepanjang hayat dan aktiviti fizikal boleh membantu anda mencapainya. Sama ada anda di rumah, pejabat atau sekolah, anda boleh memasukkan senaman untuk disesuaikan dengan gaya hidup anda. Apa yang penting, anda bergerak dan menikmati manfaatnya sepanjang hidup anda.

Sumber artikel : Utusan Malaysia Online

-tajdidniatselalu-

-Juru Dakwah Yang Tidak Gentar-

Saturday, September 5, 2009

Kekalahan umat Islam dalam perang Uhud menyebabkan bangkitnya kemarahan orang-orang Badwi di sekitar Madinah untuk mencemuh dan mengungkit dendam lama yang sebelumnya sudah terpendam. Namun tanpa curiga sedikit pun Rasulullah s.a.w memberikan sambutan baik atas kedatangan sekelompok pedagang Arab yang menyatakan keinginan sukunya hendak mendengar dan memeluk Islam.
Disebabkan itu, mereka meminta para juru dakwah dikirimkan ke kampung suku itu. Rasulullah s.a.w meluluskan. Enam orang sahabat yang alim diutus untuk melaksanakan tugas tersebut. Mereka berangkat bersama para pedagang Arab itu. Di kampung Ar-Raji, dalam wilayah kekuasaan suku Huzail, para pedagang itu tiba-tiba melakukan pengurangan atas keenam sahabat Rasulullah s.a.w, sambil berseru meminta bantuan kaum Huzail.

Keenam-enam pendakwah itu dengan pantas menghunus senjata masing-masing dan siap mengadakan perlawanan, setelah insaf bahawa mereka tengah dijebak. Para pedagang yang licik tadi berteriak,
"Sabar saudara-saudara. Kami tidak bermaksud membunuh atau menganiayai kalian. Kami cuma mahu menangkap kalian untuk kami jual ke Makkah sebagai budak belian".
Keenam-enam sahabat Rasulullah s.a.w itu tahu nasib mereka bahkan lebih buruk daripada terbunuh dalam pertarungan tidak berimbang itu. Kerana itu, mereka segera bertakbir seraya menyerang dengan tangkas. Terjadilah pertempuran seru antara enam pendakwah berhati tulus dengan orang-orang yang beringas yang jumlanya jauh lebih besar. Pedang mereka ternyata cukup tajam.

Beberapa orang lawan telah menjadi korban. Akhirnya tiga sahabat tertusuk musuh dan langsung gugur. Seorang lagi dibaling batu beramai-ramai hingga tewas. Bakinya tinggal dua orang; Zaid bin Addutsunah dan Khusaib bin Adi. Mereka lincah berlawan namun apakah daya dua ornag pejuang ini dalam menghadapi musuh yang begitu ramai.

Selang beberapa saat sesudah jatuhnya empat sahabat tadi, kedua-dua orang sahabat itu dapat dilumpuhkan dan dibelenggu. Lalu mereka diangkut menuju pasar budak di Makkah. Zaid dibeli oleh Shafwan bin Umayyah. Ayah Shafwan, Umayyah bin Khalaf, adalah majikan Bilal dan Amir bin Fuhairah. Umayyah terkenal sangat kejam kepada budak-budaknya.

Bilal pernah disalib di atas pasir dan dijemur di tengah terik matahari dengan badan ditindih batu. Untung Bilal ditebus oleh Saiyidina Abu Bakar Assidiq dan dimerdekakan. Orang Habsyi ini kemudian terkenal sebagai sahabat dekat Rasulullah s.a.w. dan diangkat sebagai Muazin. Dalam perang Badar, Umayyah bin Khalaf berhadap-hadapan dengan bekas budaknya itu. Dan Bilal berhasil membunuhnya dalam pertempuran yang sengit satu lawan satu.

Khubaib bin Adi diambil oleh Uqbah bin Al-Harits dengan tujuan yang sama seperti maksud Shafwan membeli Zaid bin Abdutsunah. Iaitu untuk membalas dendam kebencian mereka kepada umat Islam. Maka oleh orang-orang Quraisy, Zaid diseret menuju Tan'im, salah satu tempat untuk miqat umrah. Di sanalah Zaid akan dijalani hukuman pancung, atas sesuatu yang dia tidak pernah lakukannya, iaitu membunuh Umayyah bin Khalaf, ayahanda Shafwan.

Menjelang algojo menetak parangnya, pemimpin kaum Musyrikin Abu Sufyan bertanya garang,


"Zaid bedebah, apakah engkau senang seandainya di tempatmu ini Muhammad, sedangkan engkau hidup tenteram bersama keluargamu di rumah?"

"Janganlah begitu." bantah Zaid dengan keras.

"Dalam keadaan begini pun aku tidak rela Rasulullah tertusuk duri kecil di rumahnya."

Abu Sufyan menjadi marah.

"Bereskan!" teriaknya kepada algojo.

Dalam sekelip mata, sebilah parang berkilat di tengah terik matahari dan darah segar menyembur keluar. Zaid bin Abdutsunah gugur setelah kepalanya dipotong, menambah jumlah penghuni syurga dengan seorang syuhada' lagi. Di hati Abu Sufyan dan orang-orang Quraisy lainnya timbul kehairanan akan kesetiaan para sahabat kepada Muhammad.

Sampai tergamam di bibir Abu Sufyan ucapan kagum,

"Aku tidak pernah menemukan seorang yang begitu dicintai para sahabat seperti Muhammad."

Sesudah selesai pemancungan Zaid, datang pula rombongan lain yang menyeret Khubaib bin Adi. Sesuai dengan hukum yang berlaku di seluruh Tanah Arab, kepada pesalah yang dijatuhi qisas mati diberikan hak untuk menyampaikan permintaan terakhir. Demikian juga Khubaib. Juru dakwah yang bestari ini meminta izin untuk solat sunnah dua rakaat. Permohonan tersebut dikabulkan

Dengan khusyuk dan tenang, seolah-olah dalam suasana aman tenteram tanpa ancaman kematian, Khubaib melaksanakan ibadahnya sampai selesai. Setelah salam dan mengangkat dua tangan, ia berkata,

"Demi Allah. Andai kata bukan kerana takut disangka aku gentar menghadapi maut, maka solatku akan ku lakukan lebih panjang."

Khubaib disalib dahulu lalu dihabisi sepertimana dilaksanakan ke atas Zaid bin Abdutsunah. Jasadnya telah lebur sebagaimana jenazah lima sahabatnya yang lain. Namun semangat dakwah mereka yang dilandasi keikhlasan untuk menyebarkan ajaran kebenaran tidak akan pernah padam dari permukaan bumi. Semangat itu terus bergema sehingga semakin banyak jumlah pendakwah dengan kekuatan sendiri terus berjuang di jalan Allah.

(sumber iluvislam.com)

-tajdidniatselalu-

MASALAH MUSLIMAT...MENGAKUKAH ANDA???

Sunday, August 23, 2009

Salam buat teman2 disana. Dikesempatan ini suka untuk aku berkongsi satu artikel yg aku kira bole kita (akhawat khususnya) tenung2 dan fikir2kan brsama. Selepas membaca, terpulang pada sahabat2 samada ingin mengakui segala yg diajukan atau sebaliknya. Mudah2an ia mampu membuka minda kita bersama.

“What is needed now is not a shining sword, but a very sharp mind” – Saying of A Sage

"Pada pandangan saya, asas masalah (muslimat) adalah tidak menguasai 3 M iaitu MEMBACA, Memimpin dan Multi Skill. Kenapa mereka tidak boleh bersuara ? Puncanya kerana KEKERINGAN IDEA kerana tidak membaca. Jika banyak membaca tetapi tiada kemahiran memimpin, maka mereka menjadi malu dan tidak berani tampil mengutarakan ilmu yang mereka ada." - Nurul Syuhada Haji Shuib, Timbalan Presiden Kelab Ma'ruf UIAM, Majalah Muslimah Jun 2009

Dalam interview ruangan Generasiku dalam Majalah Muslimah bulan ini, isteri saya telah cuba mendefinisikan "root cause" permasalahan ketandusan wibawa, karisma, "aura" dan krisis kepimpinan berpengaruh muslimat, adalah semuanya bermula dari apa yang disebut sebagai pembudayaan budaya Iqra yang hampir lumpuh dalam diri the silent majority di kampus ini.

Bagaimana nak bentuk budaya Iqra atau "intellectual capital" muslimat ini ?

Ada satu cerita...
“Untuk kebangkitan Muslimat, muslimat mestilah banyakkan membaca!“ , tiba-tiba sapa si anak usrah kepada naqibahnya : “Baca buku yang macamana ye kak ? Tak kisah buku apapun ye. Novel pun kira boleh lah kan. Saya suka sangat baca novel" Tersipu-sipu naqibah itu memikirkan jawapan untuk menyanggah pandangan anak usrahnya.

“Untuk kebangkitan muslimat, muslimat mesti berani ke hadapan." Seorang lagi anak usrahnya bertanya : “Bila dah ke hadapan, nak cakap apa kak ? Cakap je kan apa-apa, yang penting kita muslimat mesti terus bersuara kan ? ”. Naqibah tersebut mengangguk-angguk membenarkan.

"Untuk kebangkitan muslimat, muslimat mesti tingkatkan thaqafah!". Maka giliran saya pula bertanya kepada naqibah itu, “Thaqafah yang macamana ye ? Thaqafah itu apa sebenarnya?”


Dialog di atas, saya sekadar cuba menggambarkan bahawa muslimat sememangnya telah lama sedar kelemahan mereka di mana dan apakah "tipping point" yang selama ini mereka cari untuk bangkit.

Namun soalnya, sejauhmana kesedaran yang wujud untuk bangkit, bangkit dan bangkit (sehingga perkataan "muslimat" sentiasa sinonim dengan "kebangkitan muslimat") dipandu dengan rawatan yang "mikro" sifatnya (jelas sejelas-jelasnya A-Z kaedah, teknik dan taktik rawatan), berkesan dan solusi yang mujarab untuk meningkatkan wibawa kepemimpinan muslimat ? Cukupkah dengan kenyataan "muslimat perlu berubah dan berubah" tanpa menghuraikan secara konkrit dan "mikro" aspek perubahan apa yang perlu dilakukan.

(untuk bacaan lanjut, sila ke blog ni ye teman2-http://rijal82.blogspot.com/2009/06/5-langkah-jika-sigma-mahu-menggugat.html)

-tajdidniatselalu-

...IMTIHAN DUNIA...

Monday, August 3, 2009


Segala puji ku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat iman dan Islam yang dikurniakan juga selaut kesyukuran atas keizinannya masih memberi aku peluang untuk terus bernafas sebagai seorang hamba yang serba kekurangan ini. Juga selawat dan salam ke atas baginda s.a.w dan ke atas ahli bait baginda.

Alhamdulillah, cuti summer telah hampir sebulan berlalu. Usai sahaja exam final tamat, pelbagai program telah disediakan oleh persatuan pelajar disini bagi memastikan setiap ahli dapat memanfaatkan masa mereka dengan sebaiknya.

Bermula dengan jaulah Matruh-Siwa akhawat Zaqaziq, diikuti pula dengan program Nisa' de Champion anjuran bersama OPZ dan DPMZ, kemudian minggu Thaqafah Zaqaziq (IJTIMAK), family day anjuran BKAN setiap negeri, kemudian program HAYAT oleh PMRAM, dan baru semalam kami selesai mengikuti program BAKTI dimana dalam program ini, ahli2 yang telah bertungkus-lumus disebalik tabir dalam setiap program anjuran DPMZ telah diberi pengiktirafan dan anugerah. Dan bakal menyusul pada 4 Ogos ini, Mesyuarat Agung Tahunan DPMZ dimana pada hari ini juga ahli akan menyaksikan peralihan tampuk kepimpinan DPMZ bagi sesi 08/09. Dikhabarkan, selepas MAT nanti akan diadakan pula sambutan Nisfu Sya'ban pada hari Khamis.

Pokoknya, percutian di ardhul kinanah ini bukanlah satu yang sia-sia. Hari2 yang berlalu tidak pernah sunyi dari pelbagai program samada berbentuk tarbiyah, thaqafah dan ukhwah. Persatuan pelajar disini berusaha sedaya-upaya merangka pelbagai program untuk mengerakkan ahli2 dalam usaha mengukuhkan kesatuan sesama penuntut2 di Mesir. Satu usaha terpuji yang harus dicontohi. Namun, kadang2 aku agak terkilan dengan usaha setengah pihak yang bekerja keras untuk merobek-robek kesatuan ini dek kerana iri hati mungkin…

SUKA...DUKA...MANIS...PAHIT

Semalam saya buka blog seorang teman.. turut bersimpati atas musibah yang menimpa. Kemudian jari ini rancak lagi menaip, menziarahi teratak maya teman2 yang telah pulang bercuti di tanah air. Pelbagai cerita yang dicoretkan. Ada cerita gembira..tidak kurang juga yang mencoretkan cerita duka. Aku yang masih disini hanya mampu turut sama melahirkan rasa simpati. Hanya mampu berdoa moga kalian tabah menghadapi ujian-Nya.

Selalunya kita akan menganggap hanya perkara2 musibah sahaja adalah ujian-Nya. KIta terlupa bahawa setiap yang kita hadapi di muka bumi ini adalah ujian. Tidak kira ianya suatu yang menggembirakan, menyedihkan, menyakitkan atau menghampakan itu semua adalah ujian. Cuma sebagai manusia samada kita sedar atau tidak akan lumrah alam ini.

Kemudian terlintas pula untuk melihat bagaimana suasana politik tanah air tika ini. Lantas jari pantas menaip "HARAKAH". Entah kenapa mata tertarik pada ruangan agama lantas aku klik pada ruang tersebut. Terjumpa artikel yang berkaitan dengan ujian so aku berminat untuk berkongsi dengan teman2 sebagai muhasabah dan peringatan bersama.

Beberapa perkara yang berkaitan dengan ujian

1. Bahawa Allah SWT menjadikan ujian sebagai sunnah-Nya, supaya Dia mengetahui di kalangan hamba-Nya yang jujur dan mana yang berdusta, mana yang benar-benar beriman dan mana yang munafik. Jika sekiranya semua perkara itu mudah dan penuh dengan kesenangan, nescaya semua orang akan mengaku bahawa dia adalah seorang yang jujur, benar dan beriman. Akan tetapi, Allah mengetahui orang-orang yang benar-benar jujur dan orang yang melaksanakan solat lima waktu.


2. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada setiap ujian, iaitu membersihkan orang-orang yang komited dalam perjuangan mendaulatkan Islam, supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang menghina orang-orang soleh dengan pelbagai tindakan jahat, termasuk para da'ie, penuntut ilmu, para ulama dan para wali Allah.

3. Antara rahsia daripada ujian dan cubaan yang diturunkan Allah ke atas permukaan bumi ini, iaitu penghapusan pelbagai kesalahan dan dosa yang terdapat pada diri orang-orang pilihan, sehingga Allah akan gugurkannya hingga ke akar umbinya.

4. Bahawa agama Islam ini, meskipun sering diberitakan bahawa ia sudah menang dan berjaya, sebenarnya di tengah-tengah perjalanan, masih penuh pelbagai cabaran dan tentangan, cubaan dan konspirasi jahat yang merintang, sehingga seorang mukmin masih bimbang menghadapi pelbagai konspirasi busuk yang dilancarkan syaitan yang berupa manusia terkutuk dari setiap pintu, jendela dan setiap arah.

5. Kita mampu menyingkap pelbagai konspirasi jahat musuh-musuh Islam, hingga kita mengetahui bahawa konspirasi busuk mereka tidak terbatas pada satu dimensi sahaja, akan tetapi datang dari semua arah dan tempat, pembunuhan, penjara, pengusiran, pencemaran nama baik, pembohongan, tipudaya dan sebagainya. Akan tetapi semua itu akan berakhir dengan kegagalan.

6. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada ujian yang ditimpakan, iaitu agar seorang hamba sentiasa berjuang dan bangkit daripada jurang kerendahan dan kehinaan, serta berjuang kembali dengan tenaga dan semangat baru dan mengembalikan aktivitinya setelah keluar daripada ujian ini dengan jayanya.

7. Hendaklah seorang hamba itu merendahkan diri, patuh, tunduk dan berlindung kepada Allah serta bermunajat kepada-Nya, kerana kemenangan hanya ada di tangan-Nya dan kemuliaan hanya wujud dengan merendah diri kepada-Nya.

8. Kejujuran dan keyakinan tauhid hanya kepada Allah SWT. Hal ini dapat diketahui oleh orang yang telah cuba menerapkan kalimah La ilah Ilallah, di mana kejujuran yang kukuh tidak akan nampak kecuali saat hamba itu mendapat ujian, maka itulah ucapan kalimah tauhid yang diungkapkan dengan penuh kejujuran dan keyakinan dari dalam hatinya.

Justeru, tauhid ini akan dapat dilihat dengan jelas pada masa-masa berlakunya krisis, sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat 65 surah al-Ankabut yang bermaksud: "Maka apabila mereka menaiki kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-nya."
-tajdidniatselalu-

-KELEBIHAN SUJUD DARI ASPEK PERUBATAN-

Tuesday, July 28, 2009

"Dan sebahagian daripada malam, maka bangunlah SUJUD kepadaNya dengan menyucikanNya di sepanjang malam". ( Al-Insan : 26 )

Kadangkala mungkin kita akan merasa kurang selesa sekiranya imam sujud terlalu lama, tetapi tahukah kita bahawa disana ada rahsia 1000 hikmah yang tersembunyi dari sujud yang sering kita lakukan.

Begitu juga perlu kita sedar bahawa tidak ada sesuatu pun ciptaan dan suruhan Allah itu sia-sia malahan setiap ciptaan Allah itu mempunyai kelebihan-kelebihan yang selalunya tidak terjangkal oleh akal manusia. Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk :

1) Sujud fizikal sepertimana ketika bersolat.
2) Sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah dan menjauhi larangannya.

Apa yang ditekankan disini adalah sujud fizikal.

Ulamak mengatakan sujud ketika solat adalah waktu yang paling hampir antara kita dengan Allah S.W.T iaitu dengan mengalakkan kita bersujud lama. Dari segi ilmu perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migraine,menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran seterusnya menguatkan mentaliti kita. Menurut DR. MOHD OSMAN NASIR, hikmah sujud antara lain ialah:

1) Melegakan sistem pernafasan (relieved congestion for breathing).
2) Mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.
3) Bernafas ketika sujud akan:

a) Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.

b) Membetulkan pundi peranakkan yang jatuh (prolapsed uterus / fallenbandwomb)

c) Melegakan sakit hernia.

d) Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

e) Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan (high parts of the lung)

f) Mengurangkan kesakitan pada pesakit APPENDIKS @SPLEEN (limpa)

g) Kedudukan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh.

h) Meringankan bahagian PELVIS

i) Memberi dorongan untuk mudah tidur.

j) Mengerakkan otot bahu, dada, leher, perut, punggung ketika akan sujud dan bangun darinya.

k) Gerakan otot-otot itu menjadikannya (otot) lebih kuat dan elastik, secara otomatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik (smooth blood circulation).

l) Bagi wanita, gerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar dari sakit buah dada.

m) Mengurangkan kegemukan (obesity).

n) Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar dari sakit bergelombang perut convulsions).

o) Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

p) Kesan psikologi adalah dengan merasa rendah diri di hadapan Pencipta, sifat sombong, riak, takabur dapat dikikiskan.

q) Mengelakkan pendarahan otak jika kita tiba-tiba menerima pompa darah ke otak secara kuat dan mengejut terhindarlah penyakit seperti APOPLEXIA RUPTURE OF BLOOD VESSELS DAN ARTERIOSCLEROSIS OF CEREBRUM.

r) Kesan sujud seperti yang diakui fahaman agama lain umpama SIKH di PUNJAB, BUDDHA mengamalkan YOGA yang sujudnya hampir sama dengan cara sujud Islam.

-tajdidniatselalu-

HEBATNYA ISLAM

Sunday, July 19, 2009

Salam ukhwah buat teman2.. Sudah sekian lama teratak aku ni tidak dijenguk. Bersawang sana-sini. Seusai tamat sahaja imtihan, pelbagai program telah sedia menanti untuk dihadiri. Alhamdulillah... sekurang-kurangnya waktu2 lapang pada cuti summer kali ini lebih bermakna.
Malam 17 julai, bersama 12 orang teman yang lain, aku menghantar 2 orang kawan ke mathor. Tidak sampai 12 jam kami bermalas-malasan di rumah, pada petang 18 julai sekali lagi rombongan zagzig menghantar seorang lagi teman pulang bercuti di tanah air.Tapi teman aku yang seorang ni special sikit.. Dia ni boleh dikatakan teman gaduh aku masa bosan2... Dengan penerbangan Emirate, dikhabarkan bahawa dia telah menjadi satu-nya rakyat Malaysia dalam pesawat tersebut..Mudah2an dipermudahkan segala urusannya. Pada pagi 19 julai, 5 orang teman lagi akan terbang ke tanah air... Musim2 cuti ni kelihatan ramai student malaysia berpusu-pusu balik ke kampung halaman.
Dikesempatan ini aku tidak berhajat untuk bercerita mengenai mereka yang akan pulang ke kampung halaman. Moga2 percutian mereka akan memberi manfaat bukan hanya untuk diri mereka sendiri tetapi juga untuk ISLAM itu sendiri.
Dikesempatan ini, suka untuk aku berkongsi bersama teman2 sebuah artikel yang aku copy daripada Harakah online. Moga sama2 kita dapat manfaat daripadanyaa.


Kehebatan Islam dari kacamata bukan Islam
(Mohamed Hanipa Maidin Mon Jul 13, 09 1:49:16 pm MYT)

Apabila mendengar ucapan dari sahabat Kelab Penyokong PAS di Muktamar PAS yang baru berlalu, saya merasa gembira bercampur cemas. Gembira kerana golongan bukan Islam tidak takut dan kekok bersama-sama dengan PAS. Cemas kerana harapan yang tinggi mereka letakkan pada PAS takut-takut diambil ringan oleh pemimpin PAS di segenap peringkat.

Atas kesedaran itu saya bercadang untuk menulis di ruangan ini berkaitan kehebatan undang-undang Islam berbanding undang-undang buatan manusia (man made law) sebagai satu renungan para sahabat bukan Islam atau orang Islam (baca Umno) yang masih tidak yakin dengan undang-undang Islam.

Di dalam buku yang ditulis Dr Ali Akbar Velayati (mantan Menteri Luar Iran) bertajuk "The Encyclopedia of Islam and Iran", penulis memberitahu bagaimana ketika beliau menjadi Menteri Luar Iran dan berjumpa dengan Menteri Luar Jerman, Hans Detrisch Ganscher, pemimpin Jerman itu telah meminta Iran menggunakan pengaruhnya untuk meyakinkan pemerintah Sudan agar meninggalkan hasrat menegakkan undang-undang Islam (syariah) di negara tersebut.
Velayati mengatakan bahawa daripada apa yang dikatakan oleh Menteri Luar Jerman kepada beliau, adalah jelas bahawa rakan sejawatnya itu tidak mempunyai idea apakah undang-undang Islam yang sebenar.

Sebab itu tidak pelik jika kita membaca buku yang ditulis oleh Murad Wilfried Hofman (seorang bekas diplomat German yang memeluk Islam) bertajuk "Islam the Alternative" (Der Islam als Alternative). Buku itu menjadi perbahasan hangat di Bundestag (Parlimen Jerman) dan beliau telah dilabel sebagai fundamentalis oleh rakyat Jerman.

Namun buku yang ditulis oleh Murad Hofman diterjemahkan dalam banyak bahasa termasuk bahasa Arab (al-Islam ka Badil).

Di dalam buku itu beliau telah berhujah dengan menarik sekali tentang kehebatan sistem Islam. Sebagai contoh ketika membincangkan tajuk undang-undang antarabangsa, Murad Hoffman menyatakan:

"Al-Quran memberikan landasan yang sangat baik untuk undang-undang antarabangsa mengenai kontrak dan perjanjian, status golongan minoriti dan hukum suaka politik dan hukum perang. Al-Quran menekankan prinsip bahawa perjanjian harus dipatuhi hatta dengan orang-orang bukan Islam.

"Surah Al-Maidah dimulai dengan kalimat: "Wahai orang-orang yang beriman tepatilah semua janji kamu".
Prinsip menghormati perjanjian sekarang ini diguna pakai di dalam undang-undang antarabangsa di bawah doktrin "pacta sunt servanda".

Mengenai hak golongan minoriti kata Murad Hoffman, undang-undang al-Quran menunjukkan toleransi yang amat luar biasa. Undang-undang ini dan amalan yang serupa tidak akan dijumpai di tempat lain baik pada abad ke tujuh atau seribu tahun kemudian.

Kita hanya perlu mengingat kembali nasib kaum Hugenout, orang-orang Protestan di Salzburg, bangsa Yahudi di Rusia dan kaum Muslim di Andalusia, India (misalnya pembunuhan di Gujerat) dan Bosnia bagi membolehkan kita menghargai kehebatan Islam dalam melindungi nasib golongan minoriti.

Keberkesanan Islam melindungi hak dan kepentingan kaum minoriti terbukti dari berkembangnya masyarakat Yahudi di seluruh dunia Islam ? dari Maghribi ke Yaman dan Istanbul hingga abad ke-20 ini. Bangsa Yahudi di Sepanyol yang telah mengenal kaum Muslim mencari perlindungan di kawasan kediaman orang Islam di Sepanyol dan Saloniki Turki ketika mereka diusir oleh golongan Kristian pada awal abad ke-16.

Saya tidak pasti sama ada orang Barat atau orang Islam sendiri sedar bahawa pada 7 Julai 1951 satu persidangan yang dinamakan sebagai "Minggu Undang-undang Islam" (Week of Islamic Law) telah diadakan di Perancis. Program bersejarah tersebut telah dihadiri oleh ramai cerdik pandai atau sarjana undang-undang dari Timur dan Barat dan program tersebut telah dipengerusikan oleh Profesor Milliot dari Universiti Paris.

Apa yang saya ingin kongsikan dengan para pembaca sekelian adalah resolusi yang diluluskan sebulat suara di akhir persidangan tersebut.

Antara resolusi yang diluluskan adalah seperti berikut:

"Kami para delegasi yang amat berminat dengan masalah yang dibangkitkan ketika persidangan 'Minggu Undang-Undang Islam' dan melalui perbahasan yang dilakukan amat jelas menunjukkan bahawa prinsip undang-undang Islam adalah satu nilai yang amat berharga dan tidak boleh dipertikaikan.

"Kewujudan pelbagai mazhab di dalam sistem undang-undang yang hebat ini menunjukkan wujudnya nilai dan unsur penghakiman dan teknik-teknik hebat yang membuatkan undang-undang ini amat mudah untuk menjawab dan mengadaptasi keperluan-keperluan semasa yang berlaku di dalam kehidupan moden ini.

"Dan adalah disyorkan suatu jawatankuasa dibentuk untuk membuat satu Kamus Undang-Undang Islam bagi memudahkan orang ramai merujuk hasil-hasil karya berkaitan sekaligus menjadi satu khazanah maklumat undang-undang Islam mengikut kaedah moden."

Mantan Pengerusi Majlis Peguam Britain Stephen Hockman QC pernah menyatakan bahawa syariah pasti akan menjadi sebahagian sistem undang-undang British dan kerja-kerja perlu dilakukan untuk memasukkan syariah ke dalam undang-undang British.
Hockman berkata demikian ketika berucap dalam satu pertemuan yang dianjurkan oleh Website Islam UK.

Ketika memberitahu Daily Express, Hockman berkata: "Mengambil kira jumlah besar penduduk Islam di Britain adalah penting kita mencari jalan untuk menyatukan budaya Islam ke dalam tradisi kita.
"
-tajdidniatselalu-

DAH FESYEN MACAM TU...

Wednesday, June 10, 2009

Permasalahan yang kerap kali dibicarakan...AURAT..AURAT...AURAT... memandangkan musim imtihan yang masih berbaki 3 minggu lagi, ketiadaan usrah mingguan setelah hampir sebulan lamanya memperlihatkan pelbagai perubahan yang agak mengejutkan... Ya, mungkin sudah lama diri tidak di ISI... Mungkin juga tiada yang mengingatkan... Maka lupalah dan terus hanyutlah si labu bersama labu2 airnya... Yok kepada yang rajin membaca, bolehlah layan seloka dibawah ni yang aku jumpa di blog seorang insan yang tidak aku kenali...Tapi ada gak part2 yang aku cut sebab terlalu panjang...Moga seloka ini direnung2kan bersama pengajarannya....
Tutup aurat satu tuntutan, Dalam keluarga wajib tekankan, Kalau keras hati gunalah rotan, Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap, Tudung litup termasuk skap, Mini telekong pun orang cakap, Elok dipandang tak payah pun 'make up'.

Berbaju kurung bukanlah mengurung, Lebih elok jubah jika direnung, Kaki pula eloklah bersarung, Agar syaitan susah nak bertarung.
Kalau wanita menutup aurat, Orang jahat tak berani ngorat, Bahkan boleh menjadi ubat, Orang memandang boleh bertaubat.

Pakaian moden memanglah hebat, Harganya mahal walaupun ketat. Walaupun cantik tetapi singkat, Orang memakai pun nampak pusat.

Berseluar ketat baju pun ketat, Jarangnya pulak boleh dilihat, Orang yang memakai memanglah dipandang jahat, Dimurka oleh Allah, Rasul dan para malaikat.
Lagilah aneh bila di fikir, Baju kebaya tudung berukir, Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.
Menutup aurat boleh berfesyen, Tetapi jangan menunjuk eksyen, Sesuaikan diri ikut profesyen, Kalau dilaknat tak guna sesen.

Kalau nak "Make Up" biarlah padan, Jangan terlebih bila berdandan, Minyak wangi juga fikirkan, Bedak dan gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi, Kerana ia melahirkan bunyi, Boleh menarik perhatian lelaki, Perbuatan ini dibenci Ilahi.

Buat apa nak tayang jambul, Kecantikan tak usah ditonjol-tonjol, Mahkota disimpan tak jadi bisol, Memakai tudung Islam tersimbol.

Selokaku ini bukanlah jahat, Cuma saja mahu peringat, Kepada semua para sahabat, Terutama sekali rakan sejawat.

Kalau nak ikut nasihat ini, Jangan bertangguh ubahlah diri, Benda yang baik tak payah diuji, Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki, Jangan tergelak wanita diperli, Keluarga kita tak terkecuali, Terutama sekali anak dan bini.

Sudahkah kita tanamkan iman, Menutup aurat sepanjang badan, Ke sana sini dilindungi Tuhan, Keluarga menjadi contoh teladan.


Setakat ini seloka kami, Harap dapat menghibur hati, Apa yang baik hendaklah ikuti, Kalau boleh besok amali

Baju ketat seluar sendat, Pakai tudung just ikat-ikat ,Dari mula memang bukan adat, Disudut agama pun gaya tak berkat


Tudung jarang baju nipis, Pakai sikit boleh nampak 'garis', Mata orang terbeliak, kita membengis, Bila kena kutuk, kenapa menangis

Kebaya ketat, kain terbelah, Ikat tudung macam tak sudah, Nak ikut suruhan agama memang tak mudah, Tapi Islam sebenarnya indah


Dah kalau mula minat nak bertudung, Cubalah sesuaikan apa yang disarung, Kalau masih rasa jiwa tu 'mendung', Maknanya nafsu tu belum dapat dibendung


Bertudung itu bukan satu paksaan, Ianya lebih kepada keinsafan, Selalunya nafsu masih dikuasai syaitan, Itu la pasal fesyen pun yang bukan-bukan


Asal menutup aurat itu tuntutan, Kalau dianggap susah, tu sebab bosan, Yang ye nya hati tak berkenan, Tu yang berjela-jela mencipta alasan

Menutup aurat satu syariat, Kepada agama kita taat, Hidup berkat pahala berlipat-lipat, Didunia selamat, di akhirat hebat

Dalam tiap perbuatan, kita mulakan dengan niat, Gitu juga bertudung, janganlah konon nak tunjuk taat Alamat pahala lebur, dosa bertingkat-tingkat, Mentelah pula berfesyen tak kena tempat

Kita memang hidup dalam era serba maju, Sungguhlah iman tak dinilai just ikut baju, Kalau bertudung tapi pakai yang 'gitu-gitu', Kita pun susah kenal, manusia ke hantu

Bertudung bergaya biarlah yang sempurna, Tak jadi bahan kutuk, jangan pula menambah dosa Pun tak usahlah juga terlebih gaya, Islam itu suka yang sederhana

Kenalah pula kita wanita bekerjaya,Fesyen busana muslimah yang paling kena, Kalau rasa nak letak kaler, tu yang paling asas je.

So camne kawan2??? Best tak seloka ni.. Memang nampak sempoi tapi kalau dihayati maksud yang tersirat amat mendalam.. Hanya mereka yang membaca dengan mata hati akan dapat menilai erti disebalik seloka ini...So jom semak semula diri kita.. Yok renovate apa yang patut...
-tajdidniatselalu-