Monday, October 6, 2008

JELAJAH DAN JELAJAH

...BERKELANA...


Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :


"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."

(Surah At-Taubah : 41)


Cuba kita sama-sama buka mata, meluaskan skop pandangan. Menjelajah dan berkelanalah keseluruh pelusuk daerah di muka bumi ini, gunakan segala pancaindera kurnian-Nya semaksimum mungkin untuk melihat dan menilai alam yang terbentang luas. Subhanallah!!! Memang tidak terjangkau oleh akal kita untuk memikirkirkan betapa Maha Agung dan Maha Bijaksana si Sang Pencipta. Sesungguhnya terdapat banyak rahsia-rahsia keagungan-Nya di alam ini. Banyak perkara yang perlu dikaji pada bentangan alam yang unik ini agar kita dapat melihat apakah sebenarnya yang tertulis oleh pena Allah. Seandainya diperhati dan difikirkan, pada setiap kejadian di alam ini terdapat lembaran ayat-ayat Allah yang indah dan menakjubkan. Keindahan alam ciptaan-Nya bukan sahaja mempesonakan malahan dapat memberi ketenangan dan ketenteraman hati, melenyapkan bibit-bibit kesedihan dalam diri.


Namun sayang sekali kerana hanya sedikit daripada kita yang mengambil kesempatan atas nikmat yang dikurniakan Ilahi. Terdapat sebahagiaan daripada kita yang sanggup menyeksa diri, mengambil jalan mudah dengan berkurung di dalam kamar bersama kesunyian dan kekosongan yang menyeksakan apabila didatangi suatu masalah atau tatkala ditimpa suatu musibah. Lantas enggan menyertai aktiviti teman-teman yang lain walaupun puas dipujuk-rayu. Alasannya mudah. Mahu mencari ketenangan dan tidak mahu diganggu. Mungkin ada kebenarannya. Tetapi perlu diingat bahawa kamar bukanlah dunia kita yang sebenarnya. Adalah lebih baik bagi kita memerhati tumbuh-tumbuhan yang merendang, burung-burung yang berkicauan dan awan yang berarak sambil memikirkan kebesaran dan keagungan-Nya.

...DULU...


rindu keluarga nun jauh di sana...

Aku pandang kiri. Aku pandang kanan. Mencari-cari wakil yang menyambut kedatangan kami. Namun hampa. Tiada papan tanda yang tertulis "Pelajar Perubatan Johor" atau sekurang-kurangnya "Pelajar Johor" yang kelihatan. Dalam kekalutan, aku bersama 3 orang teman memberanikan diri berbaris dibelakang penumpang-penumpang lain untuk mengecop pasport. Dalam situasi sebegini, timbul perasaan untuk berpatah-balik ke tanah air. Namun bila teringat kembali amanat-amanat yang diberikan oleh keluarga, membuatkan aku nekad untuk meneruskan pengajian dan pengembaraanku di ardul kinanah ini. Biar apa terjadi akan ku cuba tempuhi bersama teman-teman yang setia disisi. Selepas selesai urusan pengesahan passport dan berbual kosong dengan pegawai yang bertugas di kaunter (walaupun aku sendiri tidak pasti adakah pegawai arab tersebut faham butir bicara ku kerana bahasa arabku yang tunggang-langgang), aku dan teman-teman meneruskan langkahan kaki kami ke arah balai ketibaan.

Tiba-tiba datang seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an menegur kami.

"Pelajar perubatan Johor ke?" ujarnya.

"Ya!" Jawab kami serentak.

"Ha. Pergi sana. Ada wakil pelajar yang datang jemput kamu" sambungnya lagi.

Kami hanya menurut arahan beliau. Sebaik menoleh ke arah yang ditunjukkannya, kelihatan sebuah papan tanda yang kami cari-cari sebentar tadi. Tiba-tiba semangat dalam diri membara kembali sebaik melihat ada tangan-tangan yang melambai ke arah kami. Kehadiran kami disambut mesra oleh wakil barisan Exco Badan Kebajikan Anak Negeri Johor. Walaupun baru pertama kali bersua, namun kemesraan dan keramahan yang dizahirkan seolah-olah kami telah lama saling mengenali.

Itu adalah sedikit-sebanyak rentetan episod hidupku tatkala kali pertama menjejakkan kaki di bumi anbiya' ini.

...KINI...

Kalau dulu aku disambut, kini aku pula yang akan menyambut. Begitulah putaran alam. Yang tua akan digantikan dengan yang muda. Kini aku dan teman-teman sekuliah sedang menghitung jari menanti kehadiran mahasiswa baru perubatan bagi ses 2008/2009 yang dikhabarkan seramai 97 orang mahasiswa bakal menjadi salah seorang penuntut di kuliah perubatan Universiti Zaqaziq. Pelbagai gambaran bermain di kotak mindaku. Mungkin di saat aku menaip artikel ini, kumpulan pertama mahasiswa tersebut sedang berada dalam penerbangan ke sini.

Lebih kurang beberapa jam saja lagi kumpulan pertama mahasiswa tersebut akan tiba. Insya-Allah seandainya diizinkan Dia, kita akan berkenalan nanti. Kita nantikan kedatangan junior2 Zaqziq ya teman-teman.

-tajdidniatselalu-

No comments: