'IKHTILAT' YANG DIBOLEHKAN
Di sana terdapat beberapa jenis 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita yang dibenarkan oleh Islam, terutamanya yang jika ianya berkaitan dengan tuntutan Syara`, keperluan atau yang seumpama dengannya.
1) 'Ikhtilat' yang berkaitan dengan muamalah
'Ikhtilat' yang berkaitan dengan muamalah yang dibenarkan oleh Syara` seperti urusan jual beli, urusan penghakiman, atau keadaan-keadaan yang memerlukan seseorang wanita itu menjadi saksi dalam sesuatu permasalahan seperti masalah berkaitan harta atau perkara yang berkaitan dengan urusan wanita walaupun pada kebiasaannya urusan-urusan tersebut akan membawa kepada 'ikhtilat'.
Firman Allah maksudnya:Persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki di antaramu. Jika tiada dua orang lelaki, maka seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi- saksi yang kamu redhai.
2) 'Ikhtilat' yang berlaku sewaktu menjadi saksi
Seseorang wanita boleh menjadi saksi di dalam kes-kes tertentu yang walaupun berlakunya percampuran sewaktu proses penyaksian sedang berjalan. Dan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa harus bagi kaum wanita menjadi saksi dalam sesuatu kes.
3) 'Ikhtilat' bertujuan melayani tetamu.
Harus bagi seorang wanita melayani tetamunya dengan syarat ia mestilah ditemani oleh suami atau mahramnya. Ini kerana, kewujudan suami atau mahramnya untuk mengelakkan berlakunya 'khalwah' (bersunyi-sunyian) antara seseorang wanita dan tetamunya. Begitu juga, harus bagi seseorang wanita untuk makan bersama tetamunya dengan kehadiran suami atau mahramnya bagi menjaga hak-hak tetamu.
4) 'Ikhtilat' sewaktu peperangan jihad fisabilillah
Para wanita di zaman Rasulullah SAW dan zaman para sahabat turut serta bersama- sama kaum lelaki pergi berjihad di medan peperangan. Mereka membantu para pejuang seperti memberi minum, merawat kecederaan serta meniupkan semangat jihad kepada para lelaki untuk terus berjuang. Begitu juga diharuskan juga 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita dalam satu perhimpunan mendengar tazkirah serta peringatan yang berkaitan dengan agama
5) 'Ikhtilat' di dalam kenderaan awam
Adapun wanita terdedah kepada 'ikhtilat' sewaktu menaiki kenderaan awam untuk menyelesaikan sesuatu urusan seperti menziarahi ibu-bapa, sahabat- handai, pesakit, atau membeli keperluan harian, maka 'ikhtilat' seperti ini adalah dibenarkan di dalam syarak.Perlu diingatkan bahawa bentuk-bentuk keizinan 'ikhtilat' yang telah disebutkan tadi tidak bermakna wanita boleh bebas bercampur gaul dengan kaum lelaki. Ini kerana hukum asal ikhtilat itu sendiri sudah jelas. Oleh para wanita wajib menjaga segala adab-adab dan hukum syara` yang berkaitan dengannya. Para wanita juga perlu ditemani suami atau mahramnya ketika menjalankan urusannya.
Hukum-hukum di atas juga merangkumi hubungan dan pergaulan seseorang wanita dengan kaum kerabat yang bukan mahram seperti sepupu, ipar duai dan seumpamanya. Ramai wanita memandang enteng perkara ini. Contohnya membuka aurat di hadapan sepupu serta tidak menjaga adab-adab wanita Islam dengan berhujah bahawa mereka adalah kaum kerabat dan hubungan kekeluargaan yang amat rapat.
KONKLUSI
Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa pergaulan atau 'ikhtilat' di antara lelaki dan wanita tanpa sebab-sebab munasabah yang dibenarkan adalah dilarang sama sekali dan membawa kepada dosa.Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan hariannya dengan kaum Adam. Ini kerana 'ikhtilat' yang melanggar batas-batas syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di dalam kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri.Wallahua'lam.
(dipetik dari raudhahblogspot)
-tajdidniatselalu-
No comments:
Post a Comment