Sunday, January 25, 2009

IKHTILAT 1

Hukum dan Dalil

Permasalahan 'ikhtilat' kalangan lelaki dan perempuan sering menjadi topik hangat dalam perbualan harian kita. Ada yang mengatakan 'ikhtilat' dibolehkan, dan sebahagian yang lain pula mengatakan tidak boleh. Ini kerana tidak ramai di kalangan umat Islam yang betul-betul memahami apa itu 'ikhtilat' dari segi hukum dan syariat, adakah ianya dibenarkan atau tidak.Tulisan ini akan cuba mengupas serba sedikit tentang permasalahan 'ikhtilat' dari segi takrif, hukum-hakam dan dalil-dalil yang berkaitan 'ikhtilat' serta beberapa jenis 'ikhtilat' yang dibenarkan di dalam Islam.



TAKRIF

'Ikhtilat' berasal dari kalimah arab . Dari segi bahasa, ia bermaksud percampuran unta dan manusia serta binatang ternakan.

Adapun dari segi istilah pula, ia bererti percampuran atau pergaulan wanita bersama lelaki pada suatu tempat yang pada kebiasaannya akan membawa kepada saling berjumpa, melihat, dan berinteraksi sesama mereka.

Melalui takrif tadi, timbul persoalan, adakah 'ikhtilat' ini dibolehkan oleh Islam atau tidak?Terdapat 2 pendapat kalangan para Ulama di dalam permasalahan 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita.

1. Pendapat pertama mengatakan ianya termasuk di dalam perkara yang dilarang .
2. Manakala pendapat kedua mengatakan ianya termasuk di dalam perkara yang diharuskan.

DALIL-DALIL LARANGAN IKHTILAT

1) Dalil Pertama : Larangan terhadap wanita yang bermusafir seorang diri dengan tanpa ditemani oleh mahramnya dan larangan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan.

Maksud dari sabda nabi:
Tidak boleh seseorang wanita itu bermusafir melainkan ia ditemani oleh mahramnya, dan tidak boleh seseorang lelaki berdua-duaan bersama perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya.

Maksud dari sabda nabi:
Tidak boleh seseorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) bersama seorang perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya.

2) Dalil Kedua : Wanita tidak diwajibkan keluar menyertai jihad.

Dari Aisyah RA katanya: "Aku telah meminta izin daripada Rasulullah untuk berjihad, lalu Nabi menjawab: "Jihad kamu (kaum wanita) adalah menunaikan haji".

3) Dalil Ketiga : Wanita tidak diwajibkan menghadiri solat jamaah di masjid seperti yang telah disepakati oleh para ulama Fekah.

Ulama berselisih pendapat pada hukum penyertaan wanita di dalam solat jemaah di masjid:

1. Sebahagian ulama berpendapat bahawa makruh ke atas wanita-wanita muda untuk hadir solat berjemaah di masjid.
2. Sebahagian lagi mengatakan ianya adalah harus ke atas wanita-wanita yang sudah berumur (tua).

Namun, pendapat yang paling kuat adalah kaum wanita diharuskan menunaikan solat berjemaah di masjid dengan keizinan dari suami atau walinya dengan syarat:

* Tidak boleh memakai bau-bauan wangi.
* Tidak berlaku percampuran (ikhtilat) antara wanita dan lelaki ketika menuju ke masjid.

Bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' ketika menunaikan solat, kaum wanita diwajibkan bersembahyang di belakang kaum lelaki.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya:Janganlah kamu menghalang wanita kamu untuk hadir ke masjid, namun rumah-rumah mereka lebih baik untuk mereka.

4) Dalil Keempat : Beberapa hukum-hakam yang dikhususkan untuk kaum wanita,

Islam telah mengkhususkan beberapa hukum-hakam untuk kaum wanita ketika menunaikan ibadat haji bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita. Di antaranya, mereka tidak digalakkan menghampiri Ka'abah sewaktu kaum lelaki sedang melakukan tawaf supaya tidak berlakunya 'ikhtilat'. Selain itu, kaum wanita juga diberi rukhsah (keringanan) untuk melontar jamrah pada Hari Nahar (hari penyembelihan) sebelum terbit fajar bagi mengelakkan kesibukan dan 'ikhtilat' bersama lelaki.

5) Dalil Kelima : Larangan wanita berjalan bersama kaum lelaki di satu jalan yang boleh menyebabkan percampuran (ikhtilat). Di sana terdapat hadis Rasulullah SAW yang menerangkan bahawa baginda telah melihat percampuran di antara lelaki dan wanita di jalanan, lantas baginda SAW menyuruh para wanita supaya berjalan di tepi jalan bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' di antara mereka.

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan tentang larangan 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita, lebih-lebih lagi 'ikhtilat' yang boleh menimbulkan fitnah.
(dipetik dari raudhahblogspot)
-tajdidniatselalu-

No comments: